SIBU, 30 Ogos: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Sarawak bermula dengan Konsert Ambang Hari Kebangsaan sebentar tadi.
Bermula tepat jam 8 malam di Dataran Tun Tunku Bujang, konsert tersebut menarik kehadiran orang ramai yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
Ia mencerminkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Konsert ini menampilkan persembahan kreatif dari Kumpulan D’Sibu Tari yang diiringi Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS).
Orang ramai yang hadir turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Floor 88 dan Baby Shima.
Artis tempatan seperti Firdaus Materang, Ng Chien Chien, Sazia Selair dan Mal Imran turut membuat persembahan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Sarawak yang mengangkat tema Jiwa Merdeka melibatkan tiga acara utama.
Selain konsert, fun walk sejauh 2.4 kilometer (km) berlangsung esok bermula jam 7 pagi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijangka turut serta dalam fun walk tersebut.
Acara kemuncak merupakan Perhimpunan Hari Kebangsaan yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu pada jam 11 pagi.
Perhimpunan ini dijangka dihadiri Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. -TVS