FUKUOKA, JEPUN, 29 Ogos: Taufan Shanshan melanda Jepun pada Khamis telah mencederakan berpuluh-puluh orang selepas angin kencang memecahkan tingkap serta menerbangkan jubin rumah.
Selain itu hujan lebat turut mencetuskan amaran banjir dan kejadian tanah runtuh.
Taufan yang paling kuat membadai Jepun pada tahun ini dilaporkan membawa tiupan angin sehingga 252 kilometer sejam melanda pulau utama selatan Kyushu yang memiliki 12.5 juta orang penduduk sekitar 8 pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tahap tertinggi di beberapa tempat serta menasihatkan ratusan ribu orang untuk berpindah.
Bandar pesisir pantai Miyazaki setakat ini merekodkan 26 kes kecederaan termasuk akibat kejadian puting beliung dengan 124 insiden kerosakan bangunan, kata seorang pegawai bencana kepada AFP.
Kebanyakan kecederaan berpunca akibat angin kencang yang memecahkan tingkap namun tiada korban jiwa.
Stesen televisyen NHK pula melaporkan sembilan orang cedera di Kagoshima.
Rakaman menerusi media sosial yang tidak disahkan menunjukkan sebatang sungai kecil di Bandar Beppu dipenuhi arus deras yang membawa air bewarna keruh selain kejadian pokok tumbang di Oita akibat hujan lebat.
Seorang pelajar Aoi Nishimoto, 18, berkata, dia telah menghubungi keluarganya di Miyazaki.
“Rumah keluarga saya tidak terjejas tetapi saya diberitahu terdapat kejadian puting beliung di sana dan bekalan elektrik terputus di beberapa tempat. Ia membimbangkan,” katanya kepada AFP.
“Tahun ini, saya berada jauh dari rumah keluarga buat kali pertama. Oleh itu menghadapi bencana alam seperti ini secara bersendirian agak menakutkan,” kata seorang lagi pelajar, Rio Ohtsuru.
Ohtsuru menambah, dia merancang untuk mencari lampu suluh sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
Pengendali utiliti Kyushu berkata sebanyak 254,610 rumah di Pulau itu terputus bekalan elektrik.
Pejabat Meteorologi Jepun memberi amaran bahawa risiko bencana akibat hujan lebat boleh meningkat dengan cepat di barat Jepun menjelang Jumaat. -TVS.