MUKAH, 29 Ogos: Pesara disarankan membuat pelan kehidupan selepas bersara berdasarkan aspirasi peribadi mereka untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.
Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib berkata, perubahan mendadak rutin harian mungkin boleh mengakibatkan kesan negatif kepada kesihatan mental seperti kemurungan.
“Setiap individu mesti ada bidang yang diceburi tetapi masa tidak mengizinkan atas kebab komitmen kepada kerja hakiki.
“Selain daripada meluangkan masa bersama-sama insan tersayang, merantau dan sebagainya, gunakan masa ini untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, meneroka hobi baharu atau menjadi pakar dalam sesuatu bidang, asalkan ia memenuhi aspirasi anda.
“Malah, pesara boleh meneruskan perkongsian ilmu dan pengalaman kepada masyarakat, kerana inilah kitaran ilmu atau yang sangat dialu-alukan semua pihak terutama kerajaan untuk menjadikan rakyat praktikal dan berpengatahuan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Persaraan 2024 di sini, baru-baru ini.
Seramai 84 guru dan pegawai pendidikan menerima APC manakala 36 pesara turut diraikan. – TVS