JAKARTA, 29 Ogos: Pihak berkuasa Indonesia mewajibkan pelancong luar negara mengisi pas kesihatan bagi mengelak kemasukan virus Mpox bermula hari ini.
Arahan tersebut dilaksanakan di beberapa lapangan terbang antarabangsa seperti Soekarno-Hatta di Jakarta, Kertajati di Jawa Barat, Juanda di Jawa Timur dan Gusti Ngurah Rai di Bali.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia Muhammad Syahril menjelaskan, saringan ketat dijalankan dengan mewajibkan setiap pengembara sama ada rakyat Indonesia atau warga asing yang memasuki Indonesia perlu mengisi pas kesihatan digital dikenali SATUSEHAT.
“Saringan ketat dilakukan berikutan penemuan varian Clade 1B yang mula merebak di rantau ini. Ini merupakan usaha kerajaan mengetatkan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang kepada pelancong luar negara bagi mengelak kemasukan varian Mpox baharu ke Indonesia,” katanya.
Menurutnya, strain virus Mpox clade 1b dianggap mempunyai kesan lebih tinggi dan merebak lebih cepat termasuk menjangkiti kanak-kanak.
Selepas 21 hari melancong ke luar negara atau datang dari negara atau kawasan endemik dan terjejas selain mengalami simptom penyakit tersebut, mereka perlu segera mendapatan rawatan.
Kerajaan Indonesia bakal memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan Mpox dalam waktu terdekat.-TVS