MIRI, 28 Ogos: Seorang lelaki maut selepas pikap dipandu terbabit kemalangan dengan lori di Jalan Batu 27 Bintulu-Miri di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali Lau Siong Chong,38.
Komander Operasi, PBK II Polly Untang berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima laporan berhubung kes itu jam 1.39 tengah hari dengan menggerakkan sembilan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang mangsa, pemandu kenderaan pikap berada di tempat duduk pemandu dan tidak tersepit.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Pihak bomba melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di atas jalan bagi memastikan keadaan selamat kepada pengguna jalan raya lain,” ujarnya.-TVS