SRI AMAN, 28 Ogos: Enam lelaki warga emas antara 13 individu yang diberkas ketika sedang leka bermain judi holo dan mahjung di Simanggang Town District di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menyerbu sebuah premis yang terletak di tingkat satu itu dan mengesan aktiviti judi dalam bangunan pada jam 6.30 petang.
“Setibanya di lokasi pasukan serbuan telah memasuki premis dan didapati sekumpulan lelaki sedang mengerumuni meja dipercayai sedang bermain judi holo dan mahjong.
“Kesemua suspek yang ditangkap lelaki berusia 34 hingga 70 tahun, turut diberkas ialah enam warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua suspek serta barangan rampasan peralatan judi dibawa ke JSJ IPD Sri Aman untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” tegasnya.-TVS