KUCHING, 25 Ogos: Kejayaan Sarawak menanam 35 juta pokok setahun lebih awal mendahului sasaran asal membuktikan komitmen wilayah ini terhadap peranannya dalam inisiatif hijau Malaysia secara meluas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sasaran 100 juta pokok ditanam menjelang 2025 sebelum ini ditetapkan Kerajaan Persekutuan menerusi Kempen Penghijauan Malaysia.
“Sarawak telah muncul sebagai peneraju dalam usaha ini melalui Kempen Menghijaukan Sarawak sendiri.
“Kita mencapai matlamat ini setahun lebih awal, tahun ini. Pencapaian ini adalah bukti komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, serta kejayaan perkongsian antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Serantau Asia-Pasifik mengenai Pemulihan Landskap Hutan 2024 di Hotel Riverside, Kuching di sini hari ini.
Awang Tengah dalam pada itu menekankan Kerajaan Sarawak komited terhadap Pengurusan Hutan Lestari (SFM) dengan melaksanakan amalan terbaik dalam pengurusan hutan.
“Sarawak telah mewajibkan semua lesen kayu hutan jangka panjang untuk mendapatkan pensijilan pengurusan hutan (FMC), dalam memastikan operasi hutan mematuhi piawaian kemampanan antarabangsa dan meminimumkan kesan alam sekitar.
“Sehingga kini, 26 Unit Pengurusan Hutan (FMU) dan lapan Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU), masing-masing meliputi 2.38 juta hektar dan 122,800 hektar, telah diperakui,” katanya.
Tambah Awang Tengah lagi, SFM memainkan peranan penting dalam meningkatkan mata pencarian tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, melindungi alam sekitar serta meningkatkan ekonomi keseluruhan dengan meningkatkan produktiviti hutan dan perkhidmatan ekosistem sambil mengurangkan kesan perubahan iklim.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad. – TVS