BUTTERWORTH, 27 Ogos: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menghalang dagangan kayu seberat kira-kira 251 tan di dalam 10 buah kontena daripada cuba memasuki negara ini menerusi Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth di sini hari ini.
MAQIS Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya mengarahkan kontena-kontena terbabit untuk berpatah balik ke negara asal di Latvia selepas ditemui hasil pemeriksaan rutin pihaknya.
“Dagangan bernilai RM203,726.78 tersebut tidak dibenarkan masuk ke dalam negara selepas MAQIS menemukan kulat Trichoderma sp. pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) di dalam 10 kontena yang ingin dibawa masuk.
“Kawalan ke atas perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya melibatkan tanaman ladang dan lain-lain,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. – TVS