KAPIT, 27 Ogos: Acara NASA Space Apps Sarawak edisi keempat pada tahun ini menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta dalam usaha menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, acara itu merupakan inisiatif yang dimulakan kementeriannya bagi menyediakan generasi muda menjadi penyelesai masalah dan peneroka inovasi di masa hadapan.
Jelasnya, NASA Space Apps Sarawak ialah satu inisiatif oleh kementerian bertujuan mendedahkan pelajar Sarawak kepada sains bumi dan angkasa serta menyediakan platform global ini kepada bakat Sarawak untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
“Program ini adalah sebahagian daripada Hackathon antarabangsa, NASA International Space Apps Challenge yang terbesar di dunia.
“Sepanjang tiga tahun lalu, setiap tahun seramai 3,500 individu berumur 13 tahun ke atas telah menyertai acara ini.
“Pada tahun ini kami menyasarkan lebih, berharap ia mencapai seramai 5,000 orang peserta,” katanya pada Majlis Pelancaran NASA Space Apps Challenge 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit, hari ini.
Roland turut berkata kementeriannya mempunyai berapa rakan usaha sama baharu tahun ini temasuk US Embassy, JCI Lutong dan TEGAS serta meneruskan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak, Pusat Pembelajaran Realfun dan SOL Digital bersama dengan sokongan Lembaga Multimedia Sarawak, MEO Studio, Maxis, SAINS dan SOCOE yang menjadi kunci kejayaan acara tersebut.
“Dengan kerjasama ini, kami dapat menjangkau lebih banyak kawasan luar bandar seperti Kapit, Lundu, Lubok Antu, Meradong, Tatau, Limbang dan Lawas,
“Kami juga telah merancang sebanyak 45 acara jerayawara sekolah di seluruh Sarawak untuk melibatkan dan memberi inspirasi kepada pelajar seramai mungkin,” tambahnya.
Dalam pada itu, seramai 250 orang pelajar daripada empat sekolah di Kapit iaitu SMK Kapit, SMK Kapit No.2, SMK Selirik dan SMK Balleh telah menyertai acara itu.
Pelancaran dan karnival sehari di SMK Kapit itu menampilkan perbincangan panel mengenai ‘Cara Membuat Pembelajaran Seronok’ yang dikongsikan oleh guru, pelajar serta pempengaruh media sosial, Shi Qi atau lebih dikenali sebagai Qiwiie.
Pada majlis tersebut juga, Roland menyeru masyarakat di Sibu dan daerah sekitar agar tidak melepaskan peluang menyertai ‘Hackathon’ fizikal selama 48 jam untuk julung kali pada 5 dan 6 Oktober ini bertempat di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu.
“Hackathon ini akan menyediakan kemudahan canggih untuk peserta menyiapkan projek dan membentangkan penyelesaian inovatif mereka,
“Pendaftaran sudah dibuka di laman web dan saya menggalakkan semua orang, sama ada muda ataupun tua untuk mendaftar dan menjadi sebahagian daripada perjalanan pembelajaran yang luar biasa ini,” katanya.