MIRI, 26 Ogos: Penglibatan pelajar dalam badan beruniform di sekolah semakin ditekankan bagi memastikan mereka berkembang secara holistik.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembelajaran luar bilik darjah terutama menerusi kokurikulum penting untuk memupuk kemahiran hidup yang tidak terdapat di dalam buku teks.
“Belajar di luar kelas terutama terlibat dengan aktiviti kokurikulum seperti unit beruniform memberikan peluang pelajar mengembangkan kemahiran hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Perkhemahan Lencana Kemajuan Keris Gangsa dan Keris Perak Pengakap Kanak-Kanak Peringkat Daerah Miri di SK Tudan Jaya semalam.
Sehubungan itu, Kim Shin menggesa ibu bapa menggalakkan anak-anak menyertai unit beruniform dan tidak hanya fokus kepada akademik.
Mengulas mengenai perkhemahan tersebut, beliau berkata, ia merupakan aktiviti bermanfaat untuk membina ketahanan mental, fizikal, emosi dan jasmani pelajar.
“Perkhemahan ini diharap dapat membantu melahirkan insan bersemangat patriotik dan bertanggungjawab kepada negara seiring slogan perkhemahan ‘Buat Sehabis Baik’,” ujarnya.
Perkhemahan tiga hari itu disertai itu disertai 223 murid dari 14 sekolah rendah di Miri.
Ia dianjurkan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Daerah Miri dan Majlis Pengakap Daerah dengan kerjasama SK Tudan Jaya.
Peserta perkhemahan turut mengikuti latihan keselamatan kebakaran yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan kemahiran dalam menghadapi situasi kecemasan dan menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.-TVS