MIRI, 26 Ogos: Sebanyak 12,389 premis diperiksa dengan 642 kes direkodkan di seluruh Malaysia dalam Ops Tiris berkaitan diesel bermula 1 Januari hingga 25 Ogos tahun ini.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, ia melibatkan rampasan 5.8 juta liter diesel berjumlah RM63.3 juta.
“Ia melibatkan rampasan 5.8 juta liter dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM63.3 juta. Pada masa sama, seramai 304 suspek ditangkap sepanjang tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Isu Bekalan Minyak Petrol Ron97 bagi Kenderaan Pelancong Brunei/Indonesia di sini, hari ini.
Melalui Ops Tiris 3.0 yang bermula 1 Januari lalu, fokus penguatkuasaan ketirisan bahan api diesel diperluaskan kepada barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi yang lain iaitu petrol RON95, minyak masak polibeg 1kg, gas petroleum cecair (LPG), gula putih bertapis (kasar dan halus) dan tepung gandum. – TVS