KUCHING, 25 Ogos: Skuad Muay Thai Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim berkata anak buahnya menunjukkan pencapaian luar biasa setelah lebih 10 tahun berusaha untuk mencapai hasrat berkenaan dengan memperoleh lima pingat emas, empat perak dan satu gangsa.
“Tahun ini, hasrat kita untuk menjadi juara telah tercapai dan mampu menyahut seruan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu suatu hari nanti Sarawak bakal menjadi hab sukan.
“Kejayaan ini adalah hadiah anak-anak Muay kepada kerajaan negeri yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk membangunkan sukan Muay Thai di Sarawak,” katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran Persatuan Muay Thai sempena kejayaan pada SUKMA 2024 di sini malam tadi.
Jumaat berkata beliau berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan sewajarnya keputusan untuk mewujudkan Pusat Sukan Berprestasi Tinggi agar Sarawak lebih maju dan cemerlang dari segi sukan.
“Tambah baik kemudahan yang diperlukan agar sukan di Sarawak akan terus berkembang, bukan hanya pada hari ini tetapi juga untuk masa depan, Sarawak mampu melakukan yang terbaik.
“Contohnya, venue acara Muay Thai di Paragon Mall Bintulu patut diiktiraf sebagai bertaraf dunia kerana mempunyai standard yang tinggi,” katanya yang berharap acara Muay Thai diadakan di Sarawak pada Sukan SEA 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada upacara penutupan SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini malam tadi mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA apabila tiba giliran negara menjadi tuan rumah temasya sukan serantau itu pada 2027.
Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA 2024 dengan memperoleh 76 pingat emas, 54 perak dan 68 gangsa, sekali gus berjaya menamatkan penantian selama 30 tahun, selepas kali terakhir muncul juara pada 1994. -TVS