KUCHING, 25 Ogos: Bersempena Hari Kebangsaan, jawatankuasa Masjid Darul Qarar mengambil inisiatif dengan mengagihkan bendera Jalur Gembilang bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan menyuntik semangat patriotisme.
Pada masa sama, ia merupakan usaha untuk memeriahkan sambutan hari istimewa itu di kawasan DUN Satok.
Pengagihan bendera tersebut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat supaya memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Malaysia yang menggabungkan Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki berkata pengagihan bendera jalur gemilang tersebut adalah acara tahunan di kawasan DUN Satok yang merupakan persediaan menyambut hari kemerdekaan bersama-sama penduduk.
“Kita memang setiap tahun adakan persediaan menuju merdeka. Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos, kita mengibarkan jalur gemilang dan semua rumah di kawasan ini ada bendera Jalur Gemilang yang berkibar.
“Kita mahu mengekalkan keharmonian supaya kekal bersatu dalam membangunkan negeri ini sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Program Pengagihan Bendera Jalur Gemilang Peringkat DUN Satok di Surau Darul Qarar di Kuching pada Ahad.
Bendera tersebut diagihkan kepada setiap rumah di Kampung Muhibah sebagai tanda semangat menuju ke ambang merdeka.
Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti senaman aerobik bersama-sama penduduk kampung yang hadir. – TVS