KUCHING, 25 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Sarawak atas kejayaan menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan rasa sukacita serta bangga dengan pencapaian atlet Sarawak yang meraih pingat emas sekali gus melakar sejarah baharu selepas penantian 30 tahun untuk bergelar juara keseluruhan.
“Saya dan isteri ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Sarawak yang memenangi Sukma 2024 yang menutup tirainya hari ini (semalam).
“Saya merasa bangga melihat kontinjen Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan meraih 76 pingat emas, ” katanya.
Beliau turut merakamkan rasa sukacita dan tahniah kepada Kerajaan Sarawak khususnya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana berjaya menjayakan sukan temasya terbesar di Malaysia ini.
“Terima kasih juga kepada pegawai kontinjen daripada negeri lain di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan temasya SUKMA di Sarawak.
“Tidak lupa kepada atlet negeri lain, saya ucapkan tahniah atas usaha, kerjasama, semangat kesukanan dan penglibatan anda dalam menjayakan sukan SUKMA Sarawak 2024,” ujarnya.
Tambahnya, semangat dan iltizam yang ditunjukkan atlet Sarawak dalam SUKMA menjadi pemangkin kepada belia untuk terus berusaha dalam meningkatkan diri.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee di atas kerana memastikan SUKMA kali ini berjalan lancar.
Sehubungan itu, beliau bangga dengan komitmen yang ditunjukkan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu yang juga Chef de Mission dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick yang juga Timbalan Chef de Mission dalam memastikan atlet bertanding dalam keadaan baik dan terurus. -TVS