Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada pemberita pada majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran Ke-13. Foto Bernama

Kohort ketiga program ISBAT Negeri Sembilan perlu tauliah mengajar

ByBernama

TAMPIN, 25 Ogos: Pengambilan kohort ketiga bagi Program ISBAT Negeri Sembilan tahun hadapan perlu mendapatkan tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata syarat itu antara penambahbaikan ditetapkan dalam sesi pengambilan yang dijangka pada Jun tahun hadapan.

“Mereka menerima elaun bulanan RM1,000 selama dua tahun dan kita harap mereka yang menghafaz al-Quran dapat memberi manfaat di daerah-daerah mereka.

“Penting kita tetapkan kohort yang berdaftar supaya mereka mendapat watikah untuk mengajar di masjid-masjid jadi kita harap memberikan manfaat kepada bukan sahaja penerima tetapi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan kali ke-13 Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN) di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 20 calon berjaya dipilih untuk kohort pertama sejak program berkenaan dilancarkan pada 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM260,000.

Aminuddin berkata bagi kohort kedua pula seramai 40 pemegang ISBAT dilantik melibatkan peruntukan RM520,000 setahun bermula 2023 dan tahun ini.

“Taburan pemegang ISBAT mengikut daerah adalah seramai 10 orang di Seremban manakala di Port Dickson, Rembau, Jempol, Kuala Pilah, Jelebu dan Tampin masing-masing lima,” katanya.

Beliau berkata sebagai nilai tambah kepada kohort kedua, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga menetapkan supaya setiap pemegang ISBAT menjalankan khidmat masyarakat di daerah-daerah yang ditetapkan di negeri ini.

Beliau berkata pendekatan itu antara usaha yang dijalankan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara untuk menyelaraskan Pengurusan Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Malaysia yang seragam.

“Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyalurkan Peruntukan Perkapita 2024 baru-baru ini kepada Institusi Pendidikan Islam Swasta bagi tujuan memperkasakan Pendidikan Islam dan Tahfiz di negeri ini.

“Sebanyak RM505,800 diperuntukkan kepada 67 premis kategori maahad tahfiz rendah dan menengah serta pondok dan madrasah.

“ITQAN juga menerima bantuan ini sebanyak RM 19,200 yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pendidikan para pelajar dan latihan pedagogi pensyarah,” katanya.

Terdahulu, seramai 29 siswa sesi pengambilan 2021/22 berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun di ITQAN. – TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan