SRI AMAN, 24 Ogos: Skuad tinju Pulau Pinang berjaya meraih lima pingat emas dan satu pingat gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, sekali gus merangkul juara keseluruhan pada edisi kali ini mengenepikan pencabarnya dari Sarawak yang hanya berpuas hati mengutip sebanyak empat pingat emas.
Jurulatih Pasukan Tinju Pulau Pinang, Jhonny Kasiran berkata, kejayaan yang dirangkul mereka adalah hasil persiapan yang rapi serta latihan yang cukup intensif sejak 2022.
“Kita telah melakukan beberapa kem lathan dengan pasukan tinju dari Chinese Taipei (Taiwan), Korea Selatan dan Indonesia dan saya rasa ia sedikit banyak memberikan kelebihan kepada kita kerana kita mendapat rakan sparring yang sangat berkualiti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Tinju Pulau Pinang, G. S. Elango berkata, mereka tidak sangka kerana berjaya meraih lima pingat emas kerana sasaran asalnya hanyalah dua pingat emas sahaja untuk dibawa pulang dan memberikan kredit kepada barisan jurulatih pasukan itu.
“Atlet-atlet Pulau Pinang telah menyertai beberapa siri perlawanan yang berlangsung di seluruh negara dan pengalaman itulah mereka gunakan di sini dan ia membuktikan bahawa hasil usaha pasti ada kejayaan.
“Ini adalah satu pencapaian terbaik yang diraih Pulau Pinang di kejohanan SUKMA untuk acara sukan tinju,” katanya lagi.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua berharap kemenangan yang dirai mereka dijadikan sebagai satu motivasi untuk memperkasakan lagi kemahiran mereka dalam sukan tinju ini.
Beliau turut mengulangi kepentingan penganjuran SUKMA itu yang dilihatnya platform terbaik bagi mengetengahkan atlet-atlet yang berpotensi besar mewakili Malaysia di persada antarabangsa.
“Ini juga memberi kelebihan buat Persatuan Tinju Malaysia (PTM) untuk memilih barisan atlet yang berbakat serta prospek emas bagi mewakili negara pada Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia ataupun seterusnya dalam Sukan Olimpik.
“Kemenangan pada hari ini tidak datang jika kita tidak mempunyai sokongan dan dorongan yang berterusan daripada para atlet,” ujarnya lagi.
Lima pingat emas yang diraih mereka adalah menerusi Pavithran Rajini Kanth (51kg), Mohamad Rizal Wahidi (54kg), Muhammad Syafiq Qusyairy Shahmizan (80kg), Danaraj Anantha Selvam (+86kg) dan Sharmela Tamil Selvam (52kg wanita) manakala satu pingat gangsa berjaya diraih oleh Muhammad Aiman Danish Mohd Suhairi (57kg). – TVS