BETONG, 23 Ogos: Atlet angkat berat, Terengganu sekali lagi meleburkan rekod kebangsaan menerusi aksi Siti Aqilah Farhana Draman dalam acara wanita melebihi 76kg pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Aksi cemerlang ditunjukkan Siti Aqilah apabila berjaya mencipta dua rekod baharu bagi disiplin snatch iaitu 100kg dan bebanan angkatan keseluruhan 226kg, yang mana bagi clean & jerk pula dia mengangkat 126kg.
Katanya, dia mendapat pingat perak pada edisi SUKMA lepas, namun berjaya menebus kekecewaannya pada kali ini dengan meraih emas.
“Saya bersemangat demi jurulatih dan ibu bapa saya yang berada di kampung serta untuk negeri Terengganu.
“Pingat ini saya dedikasikan kepada jurulatih saya yang terlantar sakit di hospital dan untuk seluruh keluarga saya,” katanya ketika ditemui media di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini.
Siti Aqilah menambah, dia akan meneruskan perjuangannya pada edisi SUKMA akan datang dan turut berterima kasih kepada pasukan jurulatih negerinya serta pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
Nur Alyaa Nabilah Ahmad Nazri dari Kedah merangkul pingat perak dengan angkatan keseluruhan 181kg (81kg, 110kg) dan atlet tuan rumah Sarawak, Brickleen Jessie Hiew melengkapkan podium di tempat ketiga menerusi angkatan 160kg (70kg, 90kg).
Sebelum ini, rekod kebangsaan dipegang oleh atlet Johor, Sonia Cassendra yang mencatatkan angkatan 95kg untuk snatch, 130 (clean & jerk) dan 225kg keseluruhan pada kejohanan di Jasin, Melaka. – TVS