KUCHING, 24 Ogos: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berbangga dengan prestasi kontinjen Sarawak yang berjaya melepasi sasaran 70 pingat emas pada sehari sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 melabuhkan tirai.
Beliau berkata kutipan pingat emas kontinjen Sarawak kini sebanyak 71 (terkini 72 pingat) meskipun dihimpit rapat oleh Wilayah Persekutuan pada tangga kedua setakat jam 6 petang semalam.
“Sasaran pingat emas kita adalah sebanyak 70 tetapi setakat malam ini, kita telah memperoleh 71 pingat emas.
“Walaupun kontinjen Wilayah Persekutuan cuba mengejar rapat dengan kita (Sarawak), yang penting sekali sasaran kita sudah tercapai.
“Juara atau tidak, kita sudah ada 71 pingat emas dalam tangan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-30 Sarawak Skills di Hotel Riverside Majestic, pada Jumaat.
Untuk rekod, sasaran 70 pingat emas bagi kontinjen Sarawak telah ditetapkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung.
Sarawak muncul juara keseluruhan pada 1990, 1992 dan kali terakhir 30 tahun lalu iaitu pada edisi 1994. – TVS