BINTULU, 23 Ogos: Kemarau pingat selama 20 tahun Melaka berakhir di Bumi Kenyalang apabila regu sepak takraw lelaki berjaya menggondol pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Jurulatih Pasukan Sepak Takraw Melaka, Mohd Kamarudin Kasim berkata, kali terakhir pasukannya menjulang emas pada SUKMA 2004.
“Pada awalnya, kami tidak menyasarkan sebarang pingat untuk kategori ini.
“Alhamdulilah, pemain-pemain kita telah membuktikan kepada pihak pengurusan sepak takraw negeri Melaka mereka boleh mencipta kejayaan di SUKMA Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pemberian Pingat kepada semua pemenang kategori regu lelaki dan wanita di Stadium Muhibbah, Bintulu hari ini.
Menurut Kamarudin, mereka tetap menaruh harapan bahawa pasukan Melaka boleh membawa balik sekurang-kurangnya dua pingat emas.
“Melaka sudah terlalu lama tidak merasai pengalaman memegang pingat emas SUKMA dan tahun ini rezeki berpihak kepada kami,” tambahnya.
Selain itu, katanya semasa Melaka menjadi tuan rumah SUKMA tahun 2010, mereka turut kecundang mendapat sebarang pingat. – TVS