Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Trio memanah recurve Sarawak berbual dengan jurulatih mereka ketika bertanding dalam acara akhir Recurve Berpasukan Lelaki menentang pasukan Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya, hari ini. Foto Bernama

Hanya sebulan berlatih bersama, trio recurve lelaki Sarawak panah emas

ByBernama

KUCHING, 23 Ogos: Biarpun hanya sempat berlatih bersama-sama selama sebulan, trio recurve lelaki Sarawak berjaya menyumbang pingat emas buat kontinjen pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya di sini.

Gandingan Isaac Ann Zhe Ting, Liew Yu Jie dan Melvin Tieh Xuan Ruey cemerlang menewaskan trio Pahang (A’zat Faris Fathullah Azrul, Muhammad Amirul Haziq Mohd Rashiddin dan Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi) 5-1 pada perlawanan pingat emas.

Pingat gangsa dimenangi Muhammad Akid Bazli Ezaidin, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Wan Qayyim Syahmi Wan Mahathir dari Johor menewaskan Alif Danish Kamal Ariffin, Aqeell Huzairee Fitree Ahmad Fitri dan Shazremil Hariz Ahmad Hafiz (Wilayah Persekutuan) 5-3 dalam satu lagi perlawanan.

“Saya sangat gembira, ini kali pertama menang pingat di SUKMA, kami memberikan 100 peratus dalam latihan, ketika perlawanan memang fokus hingga panahan terakhir, beraksi di laman sendiri juga menaikkan semangat untuk menghadiahkan pingat emas,” kata Melvin yang berusia 19 tahun.

Jurulatih pasukan itu, Jeffery Low Wei Loon berkata walaupun ketiga-tiga atlet memanah itu hanya menjalani latihan pusat bersama-sama selama sebulan, mereka memberikan komitmen tinggi untuk memberikan saingan sengit pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Jurulatih kelahiran Pulau Pinang itu turut memuji semangat juang anak didiknya yang mampu menyaingi atlet kontinjen lain dibarisi pemain pelapis kebangsaan dalam temasya kali ini.

Dalam pada itu, trio wanita Kedah dibarisi Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini, Nur Auni Aqilah Andri, Nur Auni Firdina Wafiqah Noor Azlan menyumbang pingat emas dalam acara berpasukan recurve wanita menewaskan Nur Arissa Najlaa Fadzil Fairuz, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli, Tengku Aisyah Rohani Tengku Jamal Abdul Nassier (Selangor) 5-1.

Pemain kebangsaan, Ku Nurin, 18, berkata meskipun turun sebagai pasukan bukan pilihan, beliau berpuas hati pasukannya konsisten memberikan saingan bermula dari peringkat awal perlawanan hingga final.

“Fokus kami untuk menang dan tidak terlalu fikir siapa lawan kami, saingan wanita di sini hebat, ada dalam kalangan mereka merupakan atlet kebangsaan, persiapan mental perlu kuat dan tidak boleh mudah putus asa.

“Walaupun rakan sepasukan saya ini atlet baharu, kami serasi. Mungkin keakraban ini mendorong pasukan dapat menyumbangkan pingat emas,” katanya.

Jurulatih, Fairuz SM Rahim menyifatkan kejayaan trio wanita negeri itu hasil daripada komitmen dan disiplin tinggi diberikan pemain sekali gus mencatatkan kemenangan luar jangka.

Pingat gangsa dimenangi trio Perak Auni Batrisya Humaira Mohamad Hamiddun, Maira Adriana Enolil Dzulfiqa Enolil dan Nur Safiyyah Zaini menewaskan Nurin Iman Mohamed Sham, Nurul Ain Fitri Ramli dan Zatty Ain Ashiqin Zaimy (Johor) dalam penentuan shoot-off selepas terikat 4-4. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan