KOTA SAMARAHAN, 23 Ogos: Selangor mencipta sejarah kerana buat julung kalinya meraih emas menerusi futsal pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Kaptennya, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan berkata dirinya serta rakan sepasukan sering berangan-angan memenangi acara berkenaan.
“Selain mengamalkan ‘team bonding’, sebelum tidur kami akan membayangkan kemenangan kami setiap kali sebelum tidur.
“Setiap kali perlawanan kami akan menanam pemikiran positif dan kami akan tetap melakukan yang terbaik dengan sesiapa pun lawan kami,” katanya ketika ditemui TVS selepas perlawanan akhir futsal Selangor menentang Sarawak di sini, hari ini.
Baru menginjak usia 19 tahun, Syahir mengakui berasa gementar dalam menggalas tugas sebagai seorang kapten namun dalam masa sama, dia amat berpuas hati dengan tanggungjawab dan prestasi pasukannya.
Mengulas mengenai prestasi pasukan lawan, Syahir menyifatkan Sarawak sebagi pesaing yang sengit dan berbakat.
“Saya tabik kepada pasukan Sarawak, walaupun ketinggalan namun mereka masih boleh memberikan perhatian sepenuhnya kepada perlawanan dan saingan yang kuat. Sarawak tentunya boleh pergi lebih jauh selepas ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Syahir menasihati pelapis baharu dalam sukan futsal untuk sentiasa seiringkan usaha, kerja keras dengan minat.
Perlawanan Selangor menentang Sarawak di Stadium Tertutup Samarahan ini menyaksikan Selangor memperoleh kemenangan 2-0 hasil jaringan Danish Faiz Hashim pada minit pertama dan Ahmed Haziq Haikal pada minit ke-37.- TVS