SIBU, 23 Ogos: Pasukan bola tampar lelaki Selangor menyumbang satu lagi koleksi pingat emas buat kontinjen negeri itu selepas menewaskan Wilayah Persekutuan (WP) 3-0 dalam perlawanan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 hari ini.
Ketua jurulatih pasukan Shamsaimon Mohd Sharit meluahkan rasa terharunya di atas semangat yang dipamerkan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut.
“Perlawanan pertama tempoh hari kita sudah bertemu dengan WP dan kita sudah kaji kelemahan pasukan kita pada perlawanan itu.
“Hari ini kita tunjukkan yang terbaik dan tidak akan melakukan kesilapan kali kedua, justeru pemain dapat bermain dengan baik sehingga pasukan lawan tidak dapat mengejar mata,” katanya kepada media selepas perlawanan tersebut di Dewan Bola Tampar Rejang Park di sini hari ini.
Jelasnya prestasi skuad bimbingannya meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila hampir kesemua barisan pemain dapat menyumbangkan pungutan markah dalam setiap set perlawanan.
“Semua pemain boleh bermain dan boleh mencari markah.
“Kalau SUKMA edisi lalu Sarawak mempunyai pemain kebangsaan dalam pasukan, mereka menggunakan dia sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Untuk rekod Selangor mengalahkan WP 25-14, 25-22, 25-17 dalam perlawanan akhir hari ini sekali gus menyumbang pungutan pingat kepada kontinjen Selangor. -TVS