KUCHING, 23 Ogos: Penyanyi berasal dari Sarawak, Norafizah Busman melahirkan perasaan bangga selepas tiga anaknya yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI meraih pingat dalam acara disertai.
Lebih manis lagi, anak ketiga Norafizah, Dayang Nursharzyra Awang Nasarudin yang berusia 17 tahun meraih tiga emas dan satu perak dalam acara terjun.
Selain itu, anak sulung Norafizah, Awang Sharzan Nasrin turut cemerlang selepas meraih emas acara terjun manakala Awang Mohd Sharszan Fyrman memenangi perak dalam boling padang.
Menurut Norafizah, pada mulanya ketiga-tiga anaknya beraksi dalam acara terjun namun Mohd Sharszan terpaksa bertukar sukan selepas mengalami alahan terhadap klorin yang terkandung di dalam kolam renang.
“Jadi anak kedua saya, terpaksa menukar sukan dan berkecimpung dengan boling padang sejak setahun lepas,” katanya kepada TVS.
Beliau turut mengakui jadual harian anak-anaknya agak padat disebabkan perlu belajar dan berlatih.
“Alhamdulillah, anak-anak pandai membahagikan masa walaupun ada kalanya mereka terpaksa makan di dalam kereta disebabkan kekangan masa,” ujarnya.
Menurutnya, sejak kecil, beliau dan suami sentiasa menyokong minat anak-anak terutama dalam sukan.
“Bagi saya, sukan dapat membentuk disiplin mereka,” jelasnya. – TVS