KUCHING, 23 Ogos: Inovator baharu dalam teknologi digital yang dilancarkan pada Khamis, Agytek Sdn Bhd mampu membantu negara dalam membina ekosistem digital lebih kukuh.
Penggerak utama Agytek, Tiger Wang berkata, bagi tujuan itu pihaknya mendapat kerjasama strategik bersama Kumpulan Tradewinds dari Malaysia serta GYMD Digital Teckhonology dari China sebagai hab industri kecerdasan digital di Asia Tenggara.
Menurutnya, pihaknya juga komited menyokong tadbir urus digital global dan akan menawarkan penyelesaian industri menyeluruh yang terbaik, disesuaikan untuk perusahaan pembuatan, automatif, logistik dan sektor teknologi tinggi yang lain.
“Dalam usaha untuk meningkatkan landskap digital Malaysia, Agytek komited melaksanakan peranan utama dalam transformasi digital negara melalui penyelesaian inovatif dan perkhidmatan berkualiti tinggi, selaras dengan visi dan misi memperkasa Malaysia Madani melalui penguasaan teknologi digital negara secara mampan dan menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, Agytek menawarkan penyelesaian teras yang mendorong pertumbuhan dan kecekapan perniagaan pemasaran digital, pendigitalan R&D, SCM pintar dan pembuatan pintar.
Selain itu, Inavator baharu ini (Agytek) menyediakan sokongan perkhidmatan khusus dengan kelebihan utama untuk meningkatkan operasi lean, pengeluaran fleksibel, pengurangan kos, peningkatan kualiti dan kecekapan tenaga.
Syarikat Agytek ini bertujuan menarik industri digital yang berkeperluan tinggi, memacu pertumbuhan perniagaan yang mapan dan produktiviti teknologi di samping mampu meningkatkan produktiviti pembuatan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab baru dalam domain digital. – TVS