BINTANGOR, 23 Ogos : Seramai 10 orang penduduk di Pasar Lama Pakan terpaksa dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air.
Kejadian bermula 6.00 petang itu dipercayai berpunca daripada limpahan Sungai Pakan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Ketua Balai dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.38 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi tujuh mangsa berjaya keluar sendiri ke tempat yang selamat manakala, tiga lagi berpindah selepas sempat mengemaskan barang mereka.
“Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Masyarakat Masyarakat Pakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nicholas, pihaknya juga turut menerima laporan kejadian banjir di Nanga Strass dan Kampung Lemayong.
Hasil pemantauan katanya, enam rumah panjang di kawasan itu terjejas apabila laluan masuk dinaiki air hingga paras 0.9 meter.
“Setakat ini tiada pemindahan dilakukan namun kita menasihatkan penduduk agar berhati -hati hingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya. – TVS