MIRI, 22 Ogos: Skuad ragbi wanita Sarawak akur meraih pingat perak setelah tewas 12-7 kepada Selangor pada perlawanan akhir di Stadium Miri petang tadi.
Meskipun impian menggapai emas tidak kesampaian, kapten pasukan, Josie Mavcellina Gone mengakui anak buahnya mempamerkan semangat juang yang luar biasa sepanjang perlawanan.
Josie mengakui aksi pasukannya menjadi simbol keberanian dan ketabahan dalam meneruskan perlawanan walaupun dirinya mengalami kecederaan hidung.
Bagi Josie kegigihannya menyuntik inspirasi kepada rakan sepasukan untuk terus berjuang hingga ke saat akhir perlawanan.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya. Walaupun cedera, kami tetap meneruskan perlawanan dan memberikan yang terbaik.
“Ini adalah SUKMA terakhir saya, dan saya sangat gembira kerana dapat menyumbang pingat perak untuk Sarawak,” katanya ketika ditemui TVS selepas perlawanan di sini.
Sementara itu, salah seorang pemain skuad Sarawak, Cuthberta Entai menzahirkan rasa bangga dan bersyukur atas kejayaan mereka membawa pulang pingat perak.
“Pertama sekali, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuhan. Kami telah melakukan yang terbaik dan amat berbangga dengan pencapaian ini. Pingat perak ini adalah hadiah kami buat Sarawak,” ujarnya.
Turut senada, jurulatih skuad, Sylvia Alexander Lian menyifatkan kerja keras anak buahnya berhasil pada hari ini.
“Kami telah bekerja keras sejak awal tahun, dan saya sangat bangga dengan komitmen pemain-pemain ini. Mereka telah menunjukkan semangat juang yang tiada tandingan,” katanya. – TVS