SIBU, 22 Ogos: Pasukan bola tampar lelaki Selangor menundukkan juara musim lalu Sarawak 3-1 dalam perlawanan separuh akhir bola tampar Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, sekali gus menempah slot ke final.
Menurut ketua jurulatih pasukan Shamsaimon Mohd Sharit, sebelum perlawanan, beliau menasihati skuad bimbingannya untuk memberikan aksi terbaik sekiranya hendak mara ke final.
“Kita tahu lawan dengan tuan rumah, mereka ada penyokong yang ramai, semangat mereka lebih kuat.
“Saya memberitahu para pemain saya, jangan buat kesilapan yang banyak maka anda akan menang. Itu sahaja nasihat saya kepada mereka sebelum mula perlawanan tadi,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan di Dewan Bola Tampar Rejang Park di sini, semalam.
Jelasnya beliau akan mempersiapkan barisan pemain bagi berdepan pasukan lawan pada peringkat akhir Jumaat kelak.
“Kita sudah pun bertemu dengan Wilayah Persekutuan, kita tahu corak permainan mereka dan begitu juga sebaliknya.
“Johor pun tidak kurang hebatnya, apapun kami akan bersedia,” jelasnya.
Selangor mengalahkan pasukan tuan rumah 25-23, 15-25, 21-25, 21-25 dalam perlawanan separuh akhir dan dijadual bertemu pasukan Wilayah Persekutuan di gelanggang akhir.
Manakala Sarawak pula bakal bertemu Johor bagi merebut pingat gangsa.
Wilayah Persekutuan mengalahkan Johor 25-23, 25-16, 25-23. – TVS