KUCHING, 22 Ogos: Kontinjen Johor diakui mengekalkan momentum kecemerlangan pada SUKMA 2024 setakat ini.
Koordinator Pasukan Olahraga SUKMA Johor, Ananda Jaya menyifatkan perkembangan kontinjen itu setakat ini ke arah positif.
“Sasaran rasmi kita untuk SUKMA kali ini adalah lima untuk olahraga. Dapat enam setakat ini, jadi kami sangat berpuas hati dan kita dah catatkan dua rekod SUKMA iaitu melalui acara 400 meter lelaki dan juga 4×400 meter lelaki. Itu bonus untuk kami,” katanya ketika ditemui TVS di Stadium Perpaduan, Kuching, pada Khamis.
Menurut Ananda, pihaknya giat melakukan persiapan rapi sejurus SUKMA 2022 di Kuala Lumpur berakhir.
Para atlet ujar Ananda turut diberi penekanan terhadap aspek Sains Sukan bagi mempersiapkan para atlet menghadapi SUKMA edisi kali ini.
“Kami memberi penekanan kepada aspek psikologi, pemakanan, nutrisi, sains fizikal, fisio dan sebagainya.
“Jadi, ini sebenarnya telah membantu atlet-atlet kita bersedia secara holistik untuk SUKMA kali ini.
Untuk rekod, Johor bergelar juara buat kali pertama pada SUKMA lepas dengan mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa. – TVS