BINTULU, 22 Ogos: Regu wanita sepak takraw Sarawak yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 layak ke separuh akhir selepas menewaskan Perak 2-0 sebentar tadi.
Sarawak yang diwakili Diana Ricky, Suzila Agnes Thomas dan Vanessa Emelda Austin mencatatkan kemenangan 15-10 dan 17-16 ke atas Fariesha Nur Dania Ahmad Hamri, Nor Atikah Ahmad dan Puteri Nurleesya Fatihah Nor Azli.
Penolong jurulatih Sarawak Mohamad Fathan Akhba Radua berkata, prestasi skuad sepak takraw wanita Sarawak ketika ini dilihat konsisten dan yakin mereka akan mara ke peringkat seterusnya.
“Pemain juga sangat mendengar kata jurulatih dan pengurus pasukan,” katanya kepada media selepas perlawanan di Stadium Muhibbah, Bintulu hari ini.
Sementara itu, feeder pasukan sepak takraw wanita, Diana berkata, semangat berpasukan yang tinggi dan strategi tepat menjadi kunci kejayaan mereka hari ini.
“Untuk esok kami akan cuba berentap dengan sehabis baik.
“Rehat yang cukup dan pengambilan pemakanan yang seimbang juga penting sepanjang temasya berlangsung supaya keadaan kesihatan pemain sentiasa berapa pada tahap terbaik,” katanya.
Sebelum ini pasukan sepak takraw wanita Sarawak mendapat pingat perak dalam acara berpasukan dan quadrant.
Sementara itu, beregu sepak takraw lelaki Sarawak layak ke peringkat suku akhir petang ini selepas mengalahkan Pulau Pinang, 2-0.-TVS.