KUCHING, 21 Ogos: Menjelang perlawanan separuh akhir pada pagi Rabu, pasukan futsal Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 diberi suntikan semangat dan dorongan oleh Datuk Abdullah Saidol.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) itu dijemput Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman untuk meniup semangat agar lebih membara dalam jiwa para pemain.

“Saya begitu kagum dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan anda semua (para pemain skuad futsal Sarawak) dalam perlawanan terutama ketika menentang pasukan Wilayah Persekutuan pada suku akhir.
“Kelincahan permainan anda semua membolehkan Sarawak mara ke separuh akhir. Rata-rata maklum balas daripada netizen yang menyaksikan permainan pasukan futsal Sarawak memuji semangat juang dan stamina dipamerkan pasukan futsal Sarawak yang mengingatkan kembali tentang semangat ‘Ngap Sayot’ yang pernah menjulang pasukan bola sepak Sarawak suatu ketika dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ringkas perjumpaan di Perkampungan Sukan SUKMA di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan pada malam Selasa.
Sarawak akan bertemu Perak pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung pada pagi Rabu di Dewan Tertutup Kota Samarahan.
Pada sesi perjumpaan itu, Abdullah turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM2,000 kepada pasukan berkenaan.
Sumbangan itu adalah bagi menunaikan janji setelah pasukan itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir.
Abdullah turut menasihati para pemain muda ini supaya tidak risau atau tertekan memikir tentang harapan penyokong, sebaliknya harus memberi tumpuan terhadap perancangan dan arahan jurulatih yang dilalui dalam banyak latihan sejak berbulan-bulan lamanya.
Beliau turut berkongsi cerita tentang semangat kesungguhan dan kegigihan ditonjolkan oleh semua atlet-atlet acara lain yang mewakili Sarawak dalam usaha meraih kemenangan demi memastikan Sarawak dapat menjadi juara keseluruhan SUKMA 2024.
“Para atlet juga harus sentiasa tenang, bijak mengawal emosi dan tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.