Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hellmi Samsir salah seorang atlet Muaythai Sabah yang berjaya merangkul pingat emas dalam temasya SUKMA 2024 bertempat di Naim Paragon Streetmall, Bintulu. Foto Steward Dawi (TVS)

SUKMA: Hellmi anak jati Bugis sumbang pingat emas kelima pasukan Muaythai Sabah

BySteward Dawi

BINTULU, 21 Ogos: Anak jati Bugis dari Tawau, Sabah, Hellmi Samsir, 20, berjaya menyumbang pingat emas kelima buat pasukan Muaythai Sabah kategori kombat lelaki (67-71kg) sekali gus menutup gelanggang perlawanan Muaythai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 semalam.

Dia berjaya menumbangkan peserta tuan rumah, Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid yang meraih pingat perak.

Katanya, latihan yang mengambil tempoh bertahun lamanya akhirnya terbayar apabila dia berjaya menjadi salah seorang pemenang pingat emas.

“Selama ini jurulatih bawa saya berlatih di beberapa tempat dan saya terpaksa meninggalkan keluarga di kampung halaman.

“Kadang-kadang dua atau tiga bulan saya tidak dapat melihat muka ibu dan ayah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Pingat kepada para pemenang di Naim Paragon Streetmall, di sini.

Hellmi menjelaskan, keluarga di Tawau tidak berapa setuju dia berentap melawan peserta dari negeri lain kerana bimbang dengan faktor keselamatannya.

“Saya berjaya meyakinkan mereka bahawa saya mampu berjuang selepas menjalani latihan yang rapi, dan terima kasih kepada jurulatih saya yang tidak pernah jemu memberi latihan dan bimbingan,” tambahnya.

Sementara itu, salah seorang Jurulatih Muaythai Sabah, Sharon Andrea Gerald berkata, Hellmi seorang atlet yang bersemangat kental dan tidak mudah mengaku kalah.

‘Prestasi atlet Muaythai Sabah dalam SUKMA kali ini sangat memberansangkan dan mungkin ada dalam kalangan mereka berpotensi dibawa masuk ke temasya sukan lain selepas ini.

Sharon memberitahu, berbekalkan pengalaman menjadi jurulatih selama enam tahun, dia terus giat memberi latihan dan pendedahan kepada kesemua atlet Muaythai Sabah supaya mereka bersedia mewakili negeri pada masa akan datang.

Untuk rekod, Sabah berada di kedudukan kedua dalam sukan Muaythai SUKMA 2024 dan membawa pulang lima pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan