KUCHING, 21 Ogos: Kemenangan meraih pingat emas di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bagi acara lempar cakera lelaki merupakan hasil daripada semangat juang yang tinggi dan kemenangan itu bukanlah kerana duit semata-mata, kata Jonah Chang Rigan.
Menurut atlet Sarawak itu, beliau hanya ingin mengharumkan nama negeri dan menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi menunjukkan prestasi yang cemerlang dan bukannya memikirkan ganjaran yang bakal diberikan pada penampilan di SUKMA 2024.
“Saya selalu berusaha sebaik mungkin. Saya buat sehabis baik. Kami (atlet) hanya buat yang terbaik untuk Sarawak. Sebagai atlet, kami sudah berjuang mati-matian. Namun, ia bukan kerana duit semata-mata.
“Secara jujurnya, ramai yang berfikir mengenai duit (insentif) tetapi tidak untuk prestasi saya. Jadi, saya tidak suka berfikir seperti itu,” ujarnya selepas ditemui media hari ini.
Tegasnya, sokongan dan dorongan yang diberikan oleh semua pihak adalah lebih bermakna baginya dalam berjuang dengan sehabis baik.
Jonah yang sebelum ini memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru lelaki, terus mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul emas kedua peribadinya dalam acara lempar cakera lelaki dengan jarak 46.16 meter pada SUKMA 2024 di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Walaupun beraksi dalam keadaan hujan, ia tidak mematahkan semangat anak kelahiran Sarikei itu untuk terus melakukan aksi cemerlang.
Sementara itu, atlet Negeri Sembilan, Riess William Ling Eng Meng memenangi pingat perak dengan jarak lemparan sejauh 44.77 meter.
Manakala pingat gangsa dimenangi atlet Perlis, Rizas Azei Che Radzi dengan jarak sejauh 41.42 meter.
Jonah, 21, turut beraksi sekali lagi dan berpeluang mencapai misi untuk memburu pingat emas ketiga buat dirinya dalam acara terakhirnya, baling tukul besi, Jumaat ini. – TVS