KUCHING, 21 Ogos: Keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan Sarawak untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 adalah faktor tema ‘Semangat Perpaduan Membara’ dapat direalisasikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penganjuran SUKMA telah menjadi wadah buat Sarawak dalam menyatupadukan rakyat bagi mewujudkan Malaysia yang harmoni.
“Sukan adalah alat untuk kita menyatukan sebuah negara bangsa. Apa yang Sarawak ingin sumbang adalah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia serta negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam ini.
Abang Johari berkata, SUKMA kali ini juga menjadi platform buat Sarawak untuk menggabung dan menguji kemajuan digital dan teknologi dengan elemen sukan, selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurutnya, perkembangan digital ini membolehkan acara-acara sukan yang dilaksanakan di sembilan bahagian seluruh Sarawak dipertonton kepada masyarakat di seluruh negara.
“Kesemua acara telah mendapat liputan walaupun jauh kerana kita ada TV Sarawak. Semua rakyat Malaysia dapat melihat apa yang berlaku di seluruh Sarawak.
“Ini semangat perpaduan yang membara. Saya yakin SUKMA akan datang mempunyai semangat sedemikian,” ujarnya. – TVS