KUCHING, 21 Ogos: Dana Impak Kelestarian Teknologi Agrimakanan Sarawak yang dilancarkan hari ini menandakan langkah penting wilayah ini dalam misinya menerajui pengeluaran makanan mampan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia diwujudkan dengan tujuan merevolusikan sektor agrimakanan dan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemimpin global dalam inovasi.
“Dana Impak Kelestarian Teknologi Agrimakanan Sarawak adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertindak sebagai kuasa perintis yang khusus memajukan teknologi agrimakanan, penskalaan penyelesaian berdaya maju bagi sekuriti makanan, nutrisi dan pertumbuhan ekonomi.
“Sebagai pemangkin, Sarawak dengan bangganya mengetuai tanggungjawab dalam merevolusikan sistem makanan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pelancaran Dana Impak Kelestarian Teknologi Agrimakanan Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata lagi, dana itu diwujudkan secara kerjasama dengan Borneo Ventures Link dan First Frontier Ventures.
“Dana ini akan memperkasakan warga tani, usahwan tani dan inovator kita mengguna pakai teknologi termaju, menambah baik atau memperhalusi amalan mereka, akhirnya meningkatkan nilai hasil pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penyertaan aktif sektor swasta amat penting bagi menyokong transformasi pertanian moden di Sarawak.
Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan sektor makanan dan pertanian sebagai tunjang utama ekonomi negeri.
Menurut beliau, inisiatif modenisasi tersebut mampu mempercepatkan proses kerja terutamanya bagi tujuan eksport.
“Visi kami adalah untuk memodenkan dan mengkomersialkan sektor makanan dan pertanian dengan menggunakan teknik pertanian pintar dan menjalin perkongsian global untuk mempercepatkan pengeluaran.
“Pemodenan ini akan menyokong pemprosesan makanan hiliran yang lebih tinggi dan nilai tambah khususnya untuk pasaran eksport,” katanya. – TVS