SRI AMAN, 21 Ogos: Petinju Johor, Muhammad Ariff Aiman Mohd Farid yang mara ke final Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berharap dapat meneruskan momentum sekali gus meraih pingat emas.
Beraksi pada separuh akhir kategori 63.5 – 67 kilogram (kg) malam tadi, atlet berusia 19 tahun itu mudah mengenepikan cabaran petinju Perak, Muhammad Ariff Izwan Mohd Zamil dengan keputusan 5-0.
Muhammad Ariff Aiman berkata walaupun mendapat markah penuh namun perlawanan itu agak sukar.
“(Dia seorang petinju yang berpengalaman kerana) pernah menyertai Kejohanan Tinju Kebangsaan 2023.
“Mungkin dia mempunyai strategi atau senjata rahsia untuk tewaskan saya, tetapi dengan bimbingan serta strategi jurulatih, saya dapat menumbangkan dia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman.
Ditanya mengenai harapan yang disandarkan oleh pasukan kepadanya untuk membawa pulang pingat emas, Muhammad Ariff Aiman mengakui agak tertekan namun terharu apabila diberi kepercayaan.
Dia akan bertemu dengan atlet Sarawak, Anderton Tee Hieng Tie 22 Ogos (Khamis) ini untuk menentukan pemenang pingat emas.
Pada peringkat suku akhir, Muhammad Ariff Aiman menewaskan pencabarnya dari Kelantan, Md Kamil Imran Mat Jidin
Sementara itu, skuad tinju Harimau Selatan turut menyasarkan tiga wakilnya beraksi pada separuh akhir hari ini akan lolos ke final.
Muhammad Farihin Muzill Mohd Shaiful akan berdepan petinju Pahang, Mohd Adib Azryll Kamaruzrizan bagi kategori 60-63.5 kg.
Azib Zafran Zolkarnain pula akan membuat perhitungan dengan seorang lagi petinju Pahang, Abdul Haleem Azeem Mohd Radzi bagi kategori 67-71 kg.
Turut mengibarkan cabaran Johor di separuh akhir yang dijadualkan bermula 7.30 malam ini ialah Mohamad Rynn Yusof Abu Bakar yang berdepan Wakil Terengganu, Muhammad Azrul Ezad Zolkfli. -TVS.