MIRI, 20 Ogos: Pasukan silat Sarawak masih bersemangat tinggi dalam misi memburu pingat dalam beberapa acara yang akan dipertandingkan.
Ketua Jurulatihnya, Fadzil Jamain berkata pasukan itu sememangnya meletakkan sasaran emas tetapi ia bergantung dengan prestasi atlet yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
“Kita mengharapkan kejutan yang besar selepas ini. Sebenarnya kita tidak menghebahkan berapa pingat yang kita sasar tapi untuk saya sendiri sebagai seorang ketua jurulatih, saya mensasarkan semua atlet saya dapat pjngat emas tapi tengok rezeki masing-masing,” katanya kepada media sebelum acara penyampaian pingat di Stadium Bandaraya Miri, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sarawak memulakan acara silat dengan penuh bergaya apabila berjaya meraih tiga pingat emas dan satu gangsa.
Kemenangan skuad Bumi Kenyalang itu dicapai menerusi acara jurus wajib (regu) putra, jurus wajib (regu) putri dan lelaki solo kreatif.
Mengenai jurus wajib (regu) bagi kategori lelaki dan wanita, Fadzil berkata, mereka merupakan anak didik dari berlainan perguruan.
“Mereka dari perguruan silat Miri dan Kapit. Hanya seorang sahaja atlet dari kategori seni manakala dua orang lagi adalah silat olahraga yang kita gugurkan sebelum ini kerana apabila mereka bertanding dalam acara itu mereka tidak lepas, kemudian kita latih mereka dalam jurus wajib ini.
Begitu juga putra, ketiga-tiga mereka datang dari berlainan perguruan, ada yang dari Kuching, Sibu dan Miri,” katanya.
Tambahnya lagi, kesemua atlet silat yang bertanding pada edisi ini merupakan muka baharu.
“Seorang sahaja atlet lama iaitu Mohd Nurhasri Maxzakir bagi Kategori B Putra, selebihnya 99 peratus adalah muka baharu dan baru menyertai SUKMA buat pertama kali,” jelasnya lagi. – TVS