BETONG, 20 Ogos: Kecederaan dialami atlet Johor, Siti Rohaiza Sharena Abdullah tidak mematahkan semangat untuk merangkul pingat emas dalam sukan angkat berat bagi acara 49 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Kemenangan beliau dicatatkan menerusi angkatan keseluruhannya 142kg menerusi 61kg untuk snatch dan 81kg (clean & jerk).
Siti Rohaiza berkata, dia berasa amat gembira dan bersyukur kerana mampu mencapai prestasi ditetapkan pasukan.
“Ini merupakan SUKMA terakhir saya dan ternyata saya berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan dan amat bersyukur kerana apa yang saya buat selama ini tidak sia-sia.
“Walaupun boleh buat lebih baik lagi, namun saya cuma lakukan yang termampu buat masa ini kerana saya masih mengalami kecederaan. Alhamdulillah, saya dapat capai apa yang disasarkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat acara 49kg wanita di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, hari ini.
Jelas Siti Rohaiza, walaupun bukan bermula dengan bidang sukan angkat berat, namun potensi yang terdapat pada dirinya menjadi pembakar semangat untuk dia terus berkecimpung dan memberikan yang terbaik dalam sukan berkenaan.
“Saya bukan daripada bidang angkat berat daripada awal, saya merupakan atlet olahraga. Prestasi saya dilihat menurun menyebabkan saya menukar ke bidang angkat berat dan akhirnya ia membuahkan hasil.
“Semua ini memerlukan latihan dan tanpa jurulatih saya, mungkin saya tidak akan berada di sini, selain dorongan dan berkat ibu bapa saya yang juga merupakan penyebab untuk pergi lebih jauh dalam bidang angkat berat sampai ke hari ini,” katanya.
Sementara itu, Sharifah Aiesyah Alqadree Syed Amran dari Perlis memduduki tempat kedua dengan angkatan 134kg, iaitu 59kg untuk snatch dan 75kg (clean & jerk) manakala gangsa milik atlet Sabah, Adriaannie Jane Jasrin dengan catatan 120kg (55kg, 65kg). – TVS