MIRI, 20 Ogos: Sarawak memulakan acara silat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini dengan penuh bergaya apabila berjaya meraih tiga pingat emas dan satu gangsa.
Kemenangan skuad Bumi Kenyalang di Stadium Bandaraya Miri itu dicapai menerusi acara jurus wajib (regu) putra, jurus wajib (regu) putri dan lelaki solo kreatif.
Acara jurus wajib (regu) putra diwakili oleh Ahmad Danial Abdullah, Mohammad Nur Azlisham Mohd Ali dan Suhaiqal Suhardie.
Jurus wajib (regu) putri pula menampilkan Nuradriani Fitri Abdullah, Nur Alfianiz Jordon dan Vivina Anging Johntan.
Trio putra Sarawak menang acara itu setelah memperoleh 9.93 mata berbanding 9.92 mata yang dipungut Selangor.
Sementara, pasukan wanita pula memperoleh 9.93 mata untuk menewaskan Johor dengan 9.915 mata.
Mohammad Shamiezal Shapian pula cemerlang mengumpul 9.92 mata sekali gus menewaskan atlet Wilayah Persekutuan, Faris Zakwan yang mendapat 9.9 mata dalam acara solo kreatif lelaki.
Bagi acara solo baku tunggal, pingat gangsa itu disumbangkan oleh Zureen Zulyka Zaidel.-TVS.