SIBU, 20 Ogos: Karnival Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sibu di Stadium Tertutup Sibu dijangka mampu meraih jualan melebihi RM100,000 dalam tempoh seminggu penganjurannya.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berbaki empat hari lagi karnival berkenaan.
Jelas beliau ini berdasarkan jualan oleh usahawan tempatan pada tiga hari pertama melebihi RM50,000.
“Saya percaya angka itu dapat dicapai, ini bukan kali pertama Pejabat Residen Bahagian Sibu menganjurkan karnival seperti ini kerana kita turut anjurkan ketika temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival berkenaan hari ini.
Pada masa hadapan, Micheal Tiang berkata satu karnival yang lebih besar boleh dianjurkan untuk membantu usahawan tempatan memandangkan pihaknya sudah berpengalaman.
Selain itu katanya, produk yang dijual oleh usahawan terlibat juga berkualiti serta berjaya menarik perhatian pengunjung.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap produk-produk mereka, mereka sangat berbakat dan kita perlu buka satu ruang dan platform untuk mereka manfaatkan,” katanya.
Jelasnya penganjuran karnival sedemikian juga menjadi wadah untuk meraikan perpaduan di Malaysia termasuk dari aspek kepelbagaian budaya daripada pelbagai latar belakang rakyat.
“Saya rasa itulah makna sebenar di sebalik karnival ini. Ia bersifat inklusiviti, semua orang boleh menyertainya.
“Ini merupakan waktu yang terbaik untuk kita raikan perpaduan kita menerusi SUKMA dan juga Karnival SUKMA,” jelasnya lagi.
Turut hadir Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting dan Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili. -TVS