KUCHING, 20 Ogos: Sebanyak 48 pingat emas ditawarkan esok termasuk dua menerusi acara catur yang kali pertama dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Dua pingat emas catur menerusi acara Rapid Individu lelaki dan wanita berlangsung di Dewan Jubli Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kota Samarahan.
Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini pula akan menyaksikan perebutan 11 pingat emas dengan lapan bagi acara renang manakala tiga menerusi terjun.
Acara olahraga di Stadium Sarawak yang memasuki hari ketiga esok menawarkan lapan pingat emas.
Gelanggang judo di Dewan Balau UiTM Kampus Mukah, Mukah kira-kira 240 kilometer dari sini pula menawarkan tujuh pingat emas.
Acara angkat berat di Dewan Stephen Kalong Ningkan, Betong pula mempertandingkan tiga pingat emas.
Enam acara mempertaruhkan dua pingat emas iaitu bola keranjang 5×5, skuasy, gimnastik artistik, lawan pedang, menembak, memanah manakala satu pingat emas menjadi rebutan di gelanggang ping pong.
Sementara itu, para pelumba akan bersaing merebut empat pingat emas bagi acara berbasikal bukit (MTB) di Bukit Siol, Petra Jaya di sini.
Acara yang masih berlangsung esok antaranya silambam yang diperkenalkan buat pertama kali pada SUKMA, futsal, bola sepak wanita, e-sukan, kriket T10 lelaki dan wanita, tenis, bola jaring, badminton, ragbi dan sepak takraw.
SUKMA 2024 berlangsung hingga 24 Ogos ini. – TVS