MUKAH, 19 Ogos: Pasukan bola jaring Sarawak hari ini meraih kemenangan ke atas Selangor dengan keputusan 40-39 dalam perlawanan peringkat kumpulan, Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Walaupun Selangor mendahului 10-8 pada suku pertama, Sarawak bangkit dengan semangat juang yang tinggi untuk menguasai suku kedua dengan 20-16.
Pada suku ketiga, Sarawak mengekalkan kelebihan dengan 29-27.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Sarawak, Datin Ellias Suriati Omar, meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya atas kemenangan ini.
“Saya rasa Sarawak layak untuk menang. Doa semua orang dan semangat yang tidak pernah menyerah kalah akhirnya membuahkan hasil. Itulah semangat Sarawak yang sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah.
Jurulatih pasukan Sarawak, Katherine Khoo Sen Sen, turut berkongsi kegembiraan, namun menegaskan bahawa pasukan masih perlu berusaha lebih keras.
“Saya berharap pasukan kita akan menang besar dalam perlawanan seterusnya kerana kita masih berpeluang merebut naib johan dalam kumpulan ini.
“Semangat dan kawalan permainan adalah kunci kepada kejayaan kita,” ujarnya.
Pada Selasa (20 Ogos), pasukan bola jaring Sarawak bakal berdepan dengan Pahang, diikuti oleh perlawanan menentang Brunei pada hari Rabu, 21 Ogos.
Hasil keputusan dari kedua-dua perlawanan ini akan menentukan kedudukan Sarawak dalam merebut tempat sebagai naib johan atau johan pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat.
Untuk rekod, keputusan rasmi pusingan liga dalam kumpulan pada hari kedua acara bola jaring SUKMA ke-21 Sarawak 2024 telah melaporkan bahawa Selangor berjaya menewaskan Pahang dengan skor 65-42.
Kedah turut mencatatkan kemenangan besar apabila menewaskan Brunei 81-26.
Dalam perlawanan yang lain, Terengganu mengatasi Sarawak dengan keputusan tipis 56-53, sementara Johor menewaskan Sabah dengan skor 46-38.
Pasukan Wilayah Persekutuan pula mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Kelantan dengan keputusan 55-23. – TVS