MIRI, 19 Ogos: Atlet Sarawak, Zureen Zulyka Zaidel berjaya menempah slot ke semi final acara silat Sukan Malaysia (SUKMA) selepas berjaya menewaskan Puteri Zharifah Shah Nazi Kamarulzaman dari Wilayah Persekutuan dalam acara Solo Baku (Tunggal).

Aksi hebat pada suku akhir itu menyaksikan anak kelahiran Kuching, Sarawak, Zureen Zulyka memperoleh pungutan markah sebanyak 9.92 mata berbanding Puteri Zharifah yang hanya memperoleh 9.90 mata.
Zureen, 19, dijadual beraksi dalam acara sama petang nanti.
Sehubungan itu, pasukan lelaki dari Sarawak bagi acara Jurus Wajib (Regu) turut menempah slot ke semi final.
Pasukan tersebut yang diwakili Ahmad Danial Abdullah, Mohammad Nur Azlisham Mohd Ali dan Suhaiqal Suhardie berjaya memungut 9.935 mata meninggalkan Wilayah Persekutuan dengan pungutan 9.9 mata.
Wilayah Persekutuan diwakili Adli Aiman Aziz M.O Hassan, Amir Haziq Khairul Helmi, dan Min Amry Hafizan.-TVS