BINTULU, 19 Ogos: Pencapaian atlet muaythai Sarawak merupakan empat terbaik di Malaysia setakat ini, kata Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim.
Menurutnya, atlet Muaythai Sarawak bukan hanya ‘jaguh kampung’ tetapi ramai dalam kalangan mereka yang telah mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pencapaian kita ini sangat membanggakan persatuan dan seluruh rakyat Sarawak, jika dibandingkan 10 tahun yang lepas sukan muaythai tidak berapa dikenali di negeri ini.
“Tidak mustahil kita (Sarawak) mampu melahirkan banyak atlet muaythai berkualiti sekali gus membawa nama Sarawak khasnya dan Malaysia amnya ke persada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir Muaythai kategori kombat bertempat di Naim Paragon Streetmall di sini, semalam.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak yang menawarkan insentif RM15,000 (pingat emas), RM5,000 (pingat perak) dan RM3,000 (pingat gangsa) turut menjadi pembakar semangat atlet Muaythai Sarawak berjuang berhabis-habisan bagi merangkul pingat di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Insentif ini sangat bersesuaian dengan komitmen yang diberikan semua atlet kita di Sarawak.
“Ada dalam kalangan mereka yang menjalani latihan di luar negara, meninggalkan sementara pekerjaan dan pelajaran bagi memberi fokus kepada persediaan menghadapi SUKMA,” ujarnya.
Beberapa peserta muaythai Sarawak turut berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir yang bakal diadakan hari ini 19 Ogos 2024.
Mereka terdiri daripada Mifdhal Wafiy Ayatullah (Wai Kru), Nur Iklil Zarifah Mohamad Affandi (Wai Kru), Mai Muay lelaki (Mifdhal Wafiy Ayatullah dan Mohamad Azrell Saifullah Abdullah) dan Mai Muay wanita (Ain Arisya Zulkeplie dan Nur Arifah Mahsunah Baharom). – TVS