KUCHING, 19 Ogos: Pemanah Sarawak, Joey Tan Xing Lei mahu mengekalkan momentum kejayaan selepas meraih emas bagi kontinjen Sarawak dalam acara Recurve 70 Meter Wanita pada Ahad.
Joey memperoleh 645 mata sekali gus mengatasi Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli dari Selangor yang dibezakan 300 mata di tempat kedua, manakala Alya Qursyiah Mazlan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 320 mata.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan Joey menghadiahkan pingat emas ke-15 kepada kontinjen Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak 2024.
“Saya pun tidak menjangkakan mata yang diperolehi semasa acara ini kerana sebelum ini semasa latihan, ia tidak terlalu tinggi.
“Apa pun saya akan melakukan yang terbaik untuk acara seterusnya bagi kategori individu, berpasukan dan campuran,” katanya.
Untuk rekod, Joey merupakan pemenang tiga pingat emas dan satu perak dalam SUKMA sebelum ini di Perak.
Dia berharap skuad pemanah Sarawak dapat menghadiahkan tiga lagi pingat emas daripada acara yang akan dipertandingkan.
“Saya harap kita dapat mencapai sasaran kita selepas ini, mungkin ia adalah tiga emas lagi,” katanya. – TVS