KUCHING, 19 Ogos: Kementerian Belia dan Sukan belum ada perancangan untuk membina litar lumba di Sarawak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun berkata, kementeriannya kini sedang melihat keperluan untuk menambah baik fasiliti sedia ada sebagai usaha untuk meningkatkan sukan pemotoran tersebut.
“Trek litar melibatkan tanah yang besar dan kita di peringkat Kementerian Belia dan Sukan, saya telah jawab di Parlimen.
“Kita sedang melihat fasiliti motocross sekarang yang kita akan bawa dalam bajet tahun depan untuk kita dapatkan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui ketika mengadakan lawatan ke Pusat Penyiaran SUKMA 2024 di Stadium Sarawak, di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan bahawa kerajaan Sarawak belum ada rancangan untuk membina litar lumba. – TVS