KUCHING, 19 Ogos: Malang tidak berbau apabila pelumba berbasikal BMX Negeri Sembilan Nur Adriana Sofea Abdul Hakim berdepan kecederaan ketika sesi pemanas badan sebelum acaranya bermula pagi ini.
Namun, Nur Adriana Sofea dengan tangan kanannya yang berbalut tetap mengawal basikal dengan baik selain turut mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meraih pingat emas acara BMX wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Lebih manis, kejayaan diraih atlet berusia 18 tahun di venue pertandingan di Bukit Siol itu menebuskan kekecewaannya pada dua edisi lepas yang menamatkan saingan di kedudukan terakhir.
“Pada edisi 2018 dan 2022 saya menamatkan perlumbaan di keddukan kelapan sebab saya jatuh di final dekat selekoh 1. Masa sesi pemanas badan hari ini saya jatuh dekat straight 1 dan perlu dapatkan rawatan sehingga menyebabkan tangan saya berbalut.
“Tapi saya lupakan kesakitan tersebut waktu final sebab dalam fikiran saya cuma nak menang emas dalam acara ini dan alhamdulillah saya berjaya buat,” katanya yang tidak dapat menahan sebak susulan kemenangannya itu.
Nur Adriana Sofea mengungguli acara BMX wanita selepas mencatatkan 42.485 saat (s) diikuti wakil tuan rumah Aimy Nazurah Rais dengan masa 43.994s untuk perak manakala gangsa milik pelumba Sabah Farisha Nur Umairah Zairi selepas melakukan 44.761s.
Sementara itu, Juara Kebangsaan Amer Akbar Anuar yang mewakili Terengganu menepati ramalan untuk meraih pingat emas acara lelaki selepas merekod masa 35.556s.
Pingat perak dimenangi wakil Kedah, Darwish Putra Muhd Sanusi dengan catatan 36.422s manakala gangsa milik seorang lagi wakil Terengganu Wan Muhammad Izzat Wan Mohd Baihaki (36.477s.
“Saya gembira dapat emas hari ini kerana pada edisi sebelum ini dapat perak. Ini juga penamat indah buat saya kerana ini merupakan penampilan terakhir saya di SUKMA,” kata Amer Akbar.