KUCHING, 18 Ogos: Gandingan tuan rumah melangkah ke separuh akhir boling padang acara pairs campuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas muncul juara kumpulan T hari ini.
Awang Mohammad Sharszan F Awang Nasaruddin-Nur Syurhaidah Asaral mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Kelantan 13-8 dan Pulau Pinang 18-10 untuk mengutip 10 mata penuh pada aksi yang berlangsung di Arena Lawn Bowl.
Sarawak dijadualkan menentang Wilayah Persekutuan atau Sabah yang akan ditentukan menerusi aksi play-off pada esok.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, juara kumpulan S, Selangor akan bertembung dengan pemenang play-off antara Pahang dan Terengganu.
Selangor yang merupakan juara bertahan berada di kedudukan teratas kumpulan S dengan enam mata hasil tiga kemenangan yang diraihnya semalam dan satu kekalahan di tangan Wilayah Persekutuan hari ini. -TVS.