MIRI, 18 Ogos: Keputusan berkenaan acara Sukan SEA untuk dibawa ke bahagian utara bergantung kepada pihak jawatankuasa induk yang menguruskan pertandingan tersebut, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Datuk Dr. Ripin Lamat.
Beliau berkata, ia masih di peringkat awal dan banyak perkara yang perlu diambil kira, namun semasa ucapan perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) semalam, Premier Sarawak telah menyatakan Sarawak bersedia untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA yang akan datang iaitu pada tahun 2027.
“Berkenaan acara untuk dibawa ke bahagian utara atau tidak ia bergantung kepada pihak jawatankuasa induk yang menguruskan pertandingan tersebut kalau ada lagi bagus. Namun, ia tertakluk kepada jawatankuasa kerana penganjuran sukan ini lebih besar daripada SUKMA dan mungkin banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum dibawa ke bahagian-bahagian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian Pencak Silat SUKMA XXI di Stadium Bandaraya Miri di sini, hari ini.
Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak bersedia menjadi hos bersama untuk penganjuran Sukan SEA 2027 dan mencadangkan agar acara perasmian temasya sukan itu, diadakan di Bumi Kenyalang.
Beliau juga menyatakan Sarawak turut bersedia untuk berkongsi kos penganjuran Sukan SEA 2027 bersama Kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti impak penganjuran Sukan SEA 2027 dan akan membentangkan keputusannya kepada Kabinet bulan depan, selepas Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022 sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran kepada Malaysia.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, dan kesemuanya berlangsung di Lembah Klang. – TVS