KUCHING, 17 Ogos: Orang awam mula beratur seawal jam 3 petang tadi bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Stadium Sarawak.
Tinjauan TVS mendapati pengunjung mula memenuhi pekarangan stadium dan memasuki pintu stadium sekitar jam 6 petang.
Beberapa laluan utama juga telah ditutup bermula jam 3 petang termasuk bulatan Sesco, bulatan Kesuma Resort, lorong masuk ke tempat letak kenderaan belakang Stadium Negeri Sarawak serta jalan masuk menghala ke pintu A Stadium Sarawak serta penutupan sebelum simpang Kampung Stadium.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga meramalkan cuaca cerah dan baik, malam ini.
Upacara yang akan bermula pada jam 8.30 malam ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Seramai 40,000 pengunjung dijangka akan membanjiri Stadium Sarawak bagi upacara pembukaan rasmi SUKMA ke-21 Sarawak 2024.
Anda juga boleh saksikan siaran langsung upacara perasmian rasmi SUKMA ke-21 Sarawak di saluran 122 TVS jam 8.30 malam ini. -TVS