MIRI, 17 Ogos: Atlet Karate Wanita dari Sarawak, Daniella Atika Shafi bukan sahaja berbakat dalam bidang sukan, malah merupakan seorang pelajar pintar dan kini sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajarannya ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Ketua Jurulatih Pasukan Karate Sarawak, Jarvis Julian berkata, Daniella seorang pelajar yang cemerlang pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini dengan memperoleh pointer 39.2 dan sekarang sedang menunggu keputusan UPU pada awal September ini.
“Kalau kali ini (SUKMA) dia (Daniella) dapat pingat itu adalah hadiah besar dan bonus, tetapi kita akur dengan keputusan rezeki bukan buat kita (Sarawak),” katanya kepada TVS di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini, petang tadi.
Sementara itu, Daniella ketika ditemui berkata, dia akan meneruskan minatnya dalam sukan karate dan mewakili universiti.
“Sudah tentu saya akan meneruskan minat saya dan jika diberi peluang Insya-Allah saya boleh berbakti mewakili universiti,” katanya.
Daniella, 20, merupakan bekas pelajar yang menuntut di SMK Merbau Miri.
Dia mewakili Sarawak dalam acara Kumite Individu Wanita (-55kg) pada perlawanan menentang Wilayah Persekutuan. Daniella dijadualkan beraksi dalam kategori Kumite berpasukan Isnin ini. – TVS